Rabu, 20 Julai 2011

:: Siapa Idola Kita Wahai Muslimah? ::

(Gambar Hiasan)

SRIKANDI TAULADAN

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
   
  “Malaikat turun  lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya
Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.
  Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat
Rasulullah SAW,belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita
solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah
Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah SAW Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.

Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan
Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah.Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri
bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi
saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad SAW Ibunya,Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu anha,wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman.Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu
Thalib Radiallahu anhu.Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma.Datuk saudara beliau adalah pemimpin
para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib.  Datuk saudara beliau yang lain adalah
pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa
bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu.Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu,adalah antara datuk saudara beliau yang utama, sekaligus bapa saudara kepada suaminya,yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.
  
Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah SAW dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut.Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci,Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawalmenerima Islam.Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah 
Radiallahu anha sebagai berkata,“Setelah Allah SWT memuliakan nabiNya dengan nubuwwah,
maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam”  Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan
bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali
dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.

WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah
Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan,
dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda.  Saidatina Fatimah
menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang
mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum
musyrikin ketika itu.
  
  Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila
menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk
tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith.  Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan
kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda
sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya.  Saidatina Fatimah
segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri
kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu .  Dengan lantang dan penuh berani,
beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab. 
  
  Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan
mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah
bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim.
Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah,
ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf ”. Doa baginda SAW dikabulkan
Allah SWT.Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa
Perang Badar.
  
  Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum
musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam .  Salah satunya ialah
ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana
orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap
mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah
Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.  
  
  Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di
perkampungan Abu Thalib.Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran
tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan.  Natijah dari peristiwa ini
juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah
beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.
  
Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah
Radiallahu anha.Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan
berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah SAW.Walaubagaimanapun,
hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan
beliau semakin dekat dengan ayahnya. 
  
  Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah.  Di Madinah,
beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai
orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri
mereka sendiri. 

TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH

  Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah
dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham.  Pernikahan penuh berkat itu
terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.
  
  Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan
ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah.  Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan
Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu,
bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya
terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu.  
  
  Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut.  Ini terjadi kerana
suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan
urusan rumahtangganya.  Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad
kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah
bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di
dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak
” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering
menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan
datang kepada mereka. 
  
  Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk
meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang.  Permintaan keduanya ditolak
secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin
yang lain.  Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda
kepada keduanya: 
  
  "Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik
daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril
kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh
kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat
tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali. ”
  [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]
  
  Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga
akhir hayat mereka.

KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA

  Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di
antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari
dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”
Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya
yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik
semata-mata untuk meraih keredhaanNya.  Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri
kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari
suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika
orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung
dari api neraka?” .  Saidatina Fatimah lantas
membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya.  Sebaik
Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda,“Segala puji bagi Allah yang telah
menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.
  
  Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan
oleh wanita di zamannya.  Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq,
yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha
dengan menyebutkan,“Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain
dari Fatimah, kecuali ayahnya”.
  
  Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau
seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur
kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”.Beliau menduduki kedudukan yang istimewa
di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul kerana kelebihan
beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK

  Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di
medan jihad.  Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran
besar bagi kaum muslimin ketika itu.  Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan
berkata, “ Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar,sambil
mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah.
Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya,maka beliau segera
memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda.  Pada saat itu,
beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah
RasulNya berdarah ”. 
  
  Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan  menyebutkan, “ Rasulullah
terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di
wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air.  Ketika
Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau
mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu.  Lalu disapukan di luka
baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”
  
  Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang
Khandaq dan Khaibar.  Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta
rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar.  Fatimah juga ikut
bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji
apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.

KEKASIH RASULULLAH SAW
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”.
Baginda menjawab, “Fatimah”.[(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud].
Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah
ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.
  
  Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada
Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda
menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada
Fatimah ”.
  
  Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat
ditandingi oleh wanita-wanita lain.  Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh
Saidatina Aisyah Radiallahu anha  melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat
seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah. 
Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya,
bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di
tempat yang sebelumnya baginda duduki.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang,
maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.
  
  Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan
Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga
kesedihan bagi baginda Nabi.  Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri
baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya
untuk memberikan nasihat.  Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan
bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua
orang yang paling kucintai ”.
  
  Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah
kerana kemarahan Fatimah.  Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya.  Dikisahkan
bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal
dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah.  Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "
Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang
menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu
dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami).[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari,
Muslim dan Abu Dawud].  Perkataan Rasulullah inimembatalkan hasrat Ali untuk melamar
puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.
  
  Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan
keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “ Jika
Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda
lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah
kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.”

PERJALANAN MENUJU KEABADIAN

  Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda
berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara
kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya
jalan Rasulullah.  Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat
hampir di sisi dirinya.  Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan
Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum.  Kami hanya
mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat.  
Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya
Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun.  Sementara pada tahun ini, dia
memperlihatkannya dua kali.  Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang
demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir.  Maka bertakwalah kepada Allah dan
bersabarlah.  Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah
aku”.  Maka aku (Fatimah) pun menangis.  Ketika melihat kesedihanku, maka baginda
bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam
semesta atau para pemimpin wanita umat ini”.  Maka, aku pun tersenyum .”
  
  Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot
kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam.  Beliau akhirnya
meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada
tahun 11 Hijrah.  Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun.  Maka, benarlah apa yang pernah
disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga
baginda yang akan menyusuli pemergiannya.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!

  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling
utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri
Firaun dan Maryam bintu Imran ”.  
[Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]
  
Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah
hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda, 
  
  “Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah
adalah pemimpin para wanita penghuni syurga ”.
  
  Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak
riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini.  Beliau juga menduduki tingkat yang
istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul Jauzy 
Radiallahu anhu,“

Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi
penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”.Beliau meriwayatkan 18 hadis dari
Rasulullah,yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah,
yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain,satu hadis Muttafaq Alaihi.
Dan cukuplah keberkahan bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.
  
  Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para
muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti
kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang
taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya.  Semoga Allah meredhai
Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan
sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.
Wallahua’alam bisshowab.  (Petikan dari : HT)

:: Ganjaran & Kelebihan Seorg Wanita ::


Di Antara Kelebihan dan Ganjaran Seorang Wanita
1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

2.Wanita yang hamil dapat pahala puasa disiang hari dan pahala ibadat dimalam hari.

3. Wanita yang bersalin dapat pahala 70 tahun solat dan puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah bagi satu pahala haji.

4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, ia dikira sebagai mati syahid.

5. Wanita yang beri minum susu badannya kepada anaknya akan dapat satu pahala daripada setiap titisan susu yang diberikannya.

6. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya hingga cukup tempoh 2 setengah tahun, maka malaikat dilangit khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

7. Wanita menyusui anaknya yang sedang menangis maka Allah beri pahala satu tahun solat dan puasa.

8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

9.Wanita yang tidak cukup tidur pada  malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya. 

10.Apabila dia menghiburkan hati anaknya Allah beri 12 tahun pahala ibadat.

MasyaAllah...Subhanallah...besarnya ganjaran..jadi bagi kita ibu2 yg ada masa terasa 'lemah' dgn tanggujawab sbg ibu,JOM kita tanamkan kelebihan ni dlm hati bahawasanya peluh kita yg menitik itu bukanlah peluh kosong semata malah setiap titisan 'kepenatan' itu merupakan PAHALA... 

p/s : aaaahhh...lega ku rasa setelah baca kelebihan2 ni semua...mood serabut penat dah pulih... semua adalah dgn izin-Nya.... Alhamdulillah...