Rabu, 13 Julai 2011

:: Superhero Khayalan: Layakkah Dijadikan Idola Anak-Anak Muslim? ::


Dunia dan pemikiran anak-anak dewasa ini dibanjiri dengan cerita superhero khayalan seperti
Superman, Spiderman, Naruto dan lain-lain.   Superhero (pahlawan) dalam cerita-cerita
sebegitu selalu menarik perhatian dan digemari anak-anak.  Superhero khayalan seperti
Superman, Batman, Power Ranger, Spiderman, Naruto dan lain-lain ini memang menghiburkan
sesiapa pun.  Mereka dilihat mempunyai kelebihan dan ketangkasan yang boleh digunakan
untuk melawan kejahatan dan menegakkan keadilan.  Akan tetapi, apa yang dibimbangi adalah
bagaimanakah kesan daripada cerita-cerita superhero ini terhadap perkembangan anak-anak?

  Kecintaan seorang anak kepada superhero idola mereka ini tidak hanya mereka buktikan
dengan memasang poster-poster dalam bilik tidur contohnya, tetapi ternyata ramai di kalangan
mereka yang juga menyerap pemikiran, perkataan bahkan perilaku idola mereka, kemudian
menirunya.  Hakikatnya adalah, perilaku superhero khayalan dalam cerita-cerita yang disukai
anak-anak ini hampir semuanya berunsur kekerasan dan amat jelas berbeza sekali dengan
kisah-kisah pahlawan Islam terdahulu.

  Tidak diragukan lagi tayangan-tayangan seperti ini akan memberikan pengaruh yang besar
pada perilaku anak-anak, mendorong anak-anak bersikap keras, mencuba dan meniru
adegan-adegan yang ditontonnya. Oleh yang demikian, apakah yang boleh ibu sebagai
pendidik generasi lakukan agar anak-anak mengidolakan tokoh-tokoh kepahlawanan Islam?
Selain Rasulullah SAW, siapakah lagi tokoh-tokoh yang perlu dikenalkan pada anak-anak?

  Setiap orang selalu mencari tokoh yang boleh dijadikan idola bagi diri masing-masing.  Sang
idola biasanya akan menjadi inspirasi bagi orang yang mengidolakannya.  Maka dengan itu,
tidak mustahil juga ada anak-anak yang mengidolakan superhero seperti Spiderman dan
Superman, kerana mereka menganggap karakter khayalan ini mampu membantu
mengurangkan penderitaannya dan merasa tenang jika ada superhero tersebut di sampingnya.
Dalam mendidik anak-anak untuk meneladani Hero idaman mereka, maka hero yang kita pilih
sebagai idola semestinya adalah Hero yang benar dan bukan khayalan yang tentunya lebih
baik dari kita, bersifat terpuji, boleh dipercayai, dan boleh dijadikan rujukan dalam semua
perkara kebaikan.

  Hero itu juga seharusnya mampu menjadi contoh teladan ulung bagi setiap yang ingin
mengikutnya.  Pemberi teladan dalam melakukan kebenaran dan kebaikan tentunya,
bersumber dari ajaran yang benar iaitu tidak lain adalah Islam.
  Seorang tokoh yang semestinya menjadi idola anak-anak Muslim adalah Rasulullah SAW,
para sahabat dan pejuang Islam.  Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam
memberi petunjuk kepada anak-anak tentang siapa yang layak menjadi idola mereka.  Siapa
yang menjadi tokoh idola anak-anak akan mempengaruhi arah cita-cita mereka.

  Islam sejak lama dahulu menjadi magnet kuat bagi manusia yang cintakan kebenaran.
Keperibadian Nabi Muhammad SAW sudah pasti menjadi salah satu daya tarikannya.  Para
sahabat menjadikan baginda sebagai guru, sahabat, sekaligus hero dalam kehidupan mereka.
  Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada
(diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [TMQ al-Ahzab (33): 21]

  Rasulullah SAW telah memberikan inspirasi kepada ramai umat manusia.  Islam yang
dibawanya mampu menjadi sumber keberanian dan motivasi dalam hidup, maka ramai dari
pengikut Muhammad SAW yang tadinya manusia biasa menjadi luar biasa.  Mereka menjadi
hero di antara para hero dan tentunya layak dan pantas dijadikan hero dalam kehidupan kita
dengan cara meneladaninya.

  Selain Rasulullah SAW, ada beberapa tokoh lain yang boleh kita kenalkan pada anak-anak.
Antara lain adalah Khalid bin Al-Walid. seorang panglima perang yang termasyhur dan ditakuti
di medan perang serta digelar “pedang Allah yang terhunus”.  Dia adalah salah seorang dari
panglima-panglima perang penting yang tidak terkalahkan sepanjang perjuangannya.  Begitu
juga Usamah bin Zaid, seorang pemuda, yang dilantik sebagai panglima perang pada usia 17
tahun, kerana dia dikenali sebagai pemuda yang berani dan tangkas.  Tidak kurang juga
Muhammad Al-Fatih penakluk Konstantinopel, yang kepimpinannya dikagumi ramai kawan dan
lawan serta taktik dan strategi peperangannya yang dikatakan terkehadapan pada zamannya.
Dan masih ramai lagi pahlawan-pahlawan Islam lain yang layak untuk dijadikan idola.
Mudah-mudahan anak-anak kita dapat mencontohi mereka semua.Wallahu ‘alam. (Petikan: HT)

2 ulasan:

  1. nice entry. betul. kita ni terlalu mudah ditipu dengan watak-watak ciptaan orang kafir. tujuannya apa? untuk memesongkan kita dari mengangkat hero sebenar umat Islam iaitu baginda Rasulullah S.A.W. renung-renunggkan.

    Tips : Cara Mudah Kantoikan Boyfriend Curang
    Teguran Ikhlas Dari Seorang Lelaki Untuk Wanitanya

    BalasPadam
  2. ya cmtulah sbnar tujuan si kafir2 itu..kaum2 ibu harus sgt tahu tntang perkara ni sbb takut anak2 terbawa2 dlm mencari idola mereka... anyway tq ya...

    BalasPadam